
Namun, bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau akhirnya memutuskan untuk terus kekal dan berusaha membersihkan namanya melalui proses perundangan.
“Saya akan berbohong jika saya kata saya tidak pernah terfikir mengenainya,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini.
“Tapi saya selalu ingatkan diri sendiri kenapa saya ceburi politik – untuk berkhidmat kepada negara, melindungi hak rakyat Malaysia dan membantu kemajuan Malaysia.”
Syed Saddiq berkata beliau juga sebenarnya boleh menjauhkan diri dari dunia politik apabila ditawarkan dua biasiswa oleh Universiti Oxford pada 2017, memandangkan beliau belum menjadi wakil rakyat.
“Tapi saya fikir negara mesti sentiasa diutamakan,” katanya.
Pada November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna dana, dan pengubahan wang haram.
Namun, Mahkamah Rayuan minggu lalu melepas dan membebaskannya daripada semua pertuduhan melibatkan lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu dan satu lagi pertuduhan melibatkan RM120,000 berkaitan salah guna wang.
Hakim Noorin Badaruddin berkata pembelaan tidak sepatutnya dipanggil semasa perbicaraan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan CBT dan salah guna wang secara tidak jujur.
Mengulas hala tuju politik Muda khususnya berhubung kerjasama pilihan raya, Syed Saddiq — yang melepaskan jawatannya sebagai presiden parti secara sementara selepas disabitkan kesalahan — berkata perkara itu belum pasti’.
“Landskap politik Malaysia cepat berubah. Hari ini kita sekutu, esok mungkin tidak,” katanya, sambil menambah parti itu akan menentukan pendekatannya menjelang PRU akan datang.