Pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian direman 3 hari

Pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian direman 3 hari

Lelaki 22 tahun itu direman tiga hari hingga Rabu ini untuk disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dadah.

Pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian direman 3 hari kes dadah
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Setiu hari ini. (Gambar Bernama)
BANDAR PERMAISURI:
Seorang pemandu bot terbabit tragedi mengorbankan tiga penumpang di Pulau Perhentian Sabtu lalu, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga Rabu ini terhadap lelaki 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Setiu, di sini.

Penahanan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas lelaki berkenaan didapati positif dadah.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V Vennpani, 10, maut manakala dua cedera termasuk seorang kritikal dan 10 lagi terselamat.

Semua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun bot terbalik selepas dipukul ombak besar.

Semalam, Ketua Polis Besut, Azamuddin Ahmad@Abu dilaporkan berkata, pemandu bot terbabit disahkan positif dadah dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.