Bijak pilih isu jika nak tarik pengundi bukan Melayu, PN diberitahu

Bijak pilih isu jika nak tarik pengundi bukan Melayu, PN diberitahu

Penganalisis berkata PN perlu perjuang isu tak singgung bukan Melayu selain ubah strategi.

bendera PN perikatan nasional
Penganalisis berpendapat dua parti utama Melayu dalam PN iaitu PAS dan Bersatu tidak boleh hanya memfokuskan pengundi Melayu jika gabungan itu mahu menjadi kerajaan dalam PRU akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) perlu menukar strategi dan lebih bijak dalam memilih isu semasa yang tidak menyinggung perasaan pengundi bukan Melayu jika gabungan itu mahu menarik sokongan mereka dalam PRU akan datang, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, dua parti utama Melayu dalam PN iaitu PAS dan Bersatu tidak boleh hanya memfokuskan pengundi Melayu jika gabungan itu mahu menjadi kerajaan.

Katanya, dua parti bukan Melayu dalam PN iaitu Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pula tidak cukup kuat untuk menyaingi Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP dan PKR untuk menarik pengundi bukan Melayu.

“Ketika ini pengundi bukan Melayu lebih selesa dengan kerajaan semasa berbanding PN.

“Mereka tidak yakin dengan PN, misalnya apabila menjelang pilihan raya isu diperjuangkan PN hanya mengenai Melayu dan Islam,” katanya kepada FMT.

Katanya, tindakan PN turut bersama dalam ‘payung Melayu’ ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyebabkan pengundi bukan Melayu semakin menjauhkan diri daripada gabungan itu.

Mazlan berkata, PN perlu lebih bijak memilih isu yang tidak membuatkan orang bukan Melayu takut untuk mengundi gabungan itu dan bukannya memainkan isu seperti kandang babi serta leftenan jeneral Cina.

Seorang lagi penganalisis, Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pula berkata, PN perlu mengubah strategi dengan membawa imej lebih ‘centrist’, sederhana, inklusif dan progresif.

Beliau berkata, tiada mana-mana parti mahupun gabungan yang cenderung ke arah satu kaum mudah untuk mendapatkan sokongan menyeluruh.

“Berdasarkan retorik semasa mahupun strategi politik PN, ia masih belum menampakkan gaya sedemikian.

“Pendekatan PN masih dilihat oleh pengundi bukan Melayu sebagai tidak mencukupi keperluan mereka malah merendahkan kepentingan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pemimpin akar umbi PAS mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama Johnny Lim Seng dengan niat untuk menyedarkan masyarakat tentang program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Yang Di Pertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, mendakwa gambar Lim hanya bersifat hiasan dan tidak bertujuan menghina atau memperlekehkan pemasyhuran itu.

Beliau juga mengancam menyaman sebuah laman sesawang serta Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim atas dakwaan memutar belit hantarannya.

Isu hantaran dilihat berpotensi meleburkan kepercayaan bukan Melayu terhadap naratif ‘PAS for All’ parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.