
Awal bulan ini, Senator Fuziah Salleh mengakui bahawa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim – dibentuk selepas PRU15 pada 2022 yang menyaksikan parlimen tergantung — tidak mempunyai kerangka yang jelas untuk melaksanakan reformasi secara berkesan.
Bercakap dalam audio siar World Questions BBC, Fuziah berkata, jika dilihat kembali, satu perjanjian gabungan rasmi — seperti yang digunakan gabungan besar Jerman — mungkin membantu kerajaan mempercepat pelaksanaan reformasi dan lebih baik dalam membentuk dasar.
Pada 2017, Jerman berdepan parlimen tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah dalam Bundestag, dewan rendah negara itu untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Parti-parti politik kemudian mengambil masa hampir lima bulan untuk berunding dan bersetuju terhadap satu pelan tindakan yang menyenaraikan dasar-dasar, termasuk dalam hal ehwal luar negeri, pembaharuan media, perlindungan alam sekitar dan kebajikan sosial, sebagai panduan sepanjang tempoh pentadbiran.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya bersetuju dengan kenyataan Fuziah, menyatakan bahawa ‘kritiknya’ ada ‘merit’.
Beliau berkata bahawa proses pembentukan gabungan di Jerman mengambil masa hampir lima bulan tetapi menghasilkan dokumen menyeluruh yang menjangkau lebih 170 halaman.
“Pendekatan seperti Jerman mungkin boleh dilakukan di Malaysia sekiranya pelaku politik mengutamakan reformasi nasional berbanding kepentingan sempit parti,” katanya, sambil menambah bahawa proses perundingan yang lebih lama mungkin membantu kerajaan perpaduan menyelaraskan matlamat bersama.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Syukri turut bersetuju, dan berkata gabungan perpaduan terbentuk tanpa persetujuan yang jelas terhadap dasar-dasar, yang melambatkan usaha reformasi.
“Kerajaan semasa terbentuk demi membentuk pentadbiran tanpa banyak pertimbangan terhadap kerangka dan perjanjian, selain daripada bagaimana membahagikan kuasa,” katanya kepada FMT.
“Jika kita ada pelan tindakan yang lebih jelas, mungkin ia boleh memperkasakan Anwar untuk berbuat lebih banyak. Kini, nampaknya terdapat keperluan berterusan untuk berunding — yang menghalang agenda reformasinya.”
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mempunyai pandangan berbeza, dan berkata persepsi tentang kurangnya reformasi dan perubahan institusi yang dijanjikan oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar adalah tidak tepat.
Beliau berkata usaha kerajaan memerangi rasuah merupakan ‘permulaan yang baik’.
“Anda perlu bermula dari asas untuk membasmi rasuah, yang telah lama membelenggu institusi awam kita,” katanya.
Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, selepas satu gabungan perpaduan dibentuk antara PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.
Pemimpin PH sebelum ini berkata mereka tidak berada dalam kedudukan untuk menunaikan semua janji pilihan raya kerana kekangan mentadbir dalam kerajaan perpaduan yang luas.
Anwar pula secara konsisten mempertahankan kemajuan pelaksanaan reformasi oleh pentadbirannya, dengan menyatakan bahawa perubahan bermakna mengambil masa dan mesti dilaksanakan dengan kebijaksanaan dan sokongan politik yang meluas.
Beliau turut merujuk kepada realiti bahawa 82 Ahli Parlimen PH tidak pun membentuk majoriti mudah dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.
Namun begitu, beliau berkata dengan sokongan semua rakan gabungan, kerajaan berjaya melaksanakan program nasional yang yang memberikan impak.
“Anda tidak boleh ambil mudah (dalam kerajaan perpaduan). Proses rundingan, perbincangan dan libat urus adalah penting,” kata Anwar.