
Ini susulan seruan oleh Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaffar untuk penyertaan yang lebih besar dalam kalangan komuniti bukan Bumiputera.
Presiden Macva, Wong Ah Jit berkata generasi Cina terdahulu pernah berkhidmat dan penuh bangga mempertahankan negara serta ‘meninggalkan legasi dihormati dan pengorbanan’.

“Kerjaya ketenteraan bukanlah laluan yang mudah, tetapi ia membina sahsiah, menanam disiplin, membangunkan kepimpinan.
“Yang paling penting, kerjaya ini memberi peluang kepada golongan muda untuk secara langsung mengambil bahagian dalam pembinaan negara dan memikul tanggungjawab mulia untuk melindungi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Wong berkata, generasi hari ini harus meneruskan tradisi itu dan memastikan komuniti Cina terus mempunyai suara, kehadiran dan sumbangan dalam angkatan tentera.
Semalam, Nizam berkata penyertaan bukan bumiputera dalam angkatan tentera kekal rendah.
Beliau berkata angkatan tentera harus dilihat sebagai satu pilihan kerjaya yang berdaya maju, menawarkan persekitaran profesional yang berbeza daripada bidang lain.
“Saya menggesa semua komuniti untuk mempertimbangkan untuk menyertai angkatan tentera. Di sinilah cabaran sebenar bermula, dan di sinilah anda akan merasai makna sebenar profesionalisme,” katanya di istiadat perbarisan pentauliahan pegawai kadet tentera.
Nizam berkata daripada keseluruhan 509 pegawai kadet yang ditauliahkan, seramai 466 adalah Melayu, manakala kaum India, 14 orang, Cina (8), Bugis (4), dan selebihnya terdiri daripada pelbagai etnik termasuk Rungus, Suluk, Sik serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Jumlah yang rendah adalah satu perkara yang membimbangkan dan mencerminkan keperluan untuk penyertaan kaum Cina yang lebih besar dalam sektor pertahanan negara,” kata Wong.