‘Perjawatan ada, namun tiada yang mahu’, Dzulkefly ulas kekurangan kritikal jururawat

‘Perjawatan ada, namun tiada yang mahu’, Dzulkefly ulas kekurangan kritikal jururawat

Menteri kesihatan berkata isu kurang jururawat kini isu utama didepani KKM.

jururawat nurse
Tawaran manfaat lebih besar jika beralih ke sektor swasta menjadikan sejumlah besar petugas kesihatan berhenti daripada sektor awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perjawatan tidak dipohon antara penyumbang kekurangan jururawat yang semakin kritikal di sektor awam.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata kurang jururawat kini menjadi isu utama di kementerian, berbanding digitalisasi.

“Kita pun mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih tidak dapat menampung kekurangan.

“KKM mengalami kesukaran dapatkan jururawat kerana perjawatan ada, namun tiada yang mahu. Berikan KKM sedikit masa menangani isu kekurangan jururawat ini,” katanya menurut Berita Harian, di Pasir Gudang.

Dilaporkan, seramai 6,919 petugas kesihatan direkodkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara 2020 hingga tahun lalu.

Dzulkefly berkata, ia membabitkan seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap, dan 387 lantikan kontrak direkodkan meletak jawatan, antara 2020 hingga tahun lalu.

Keadaan itu dikenal pasti berpunca akibat tawaran manfaat yang lebih besar, sekiranya petugas kesihatan terbabit beralih ke sektor swasta.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM sedang mengambil beberapa pendekatan mengisi kekurangan jururawat antaranya tindakan interim bersama sektor swasta, ataupun transit serta transisi pengambilan jururawat luar.

“Namun, apa yang paling mustahak adalah dengan kita meningkatkan moral serta semangat kerja golongan jururawat ini. Itu yang paling penting di samping isu lain membabitkan gaji dan ganjaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.