
Aedy berkata penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar, lapor Berita Harian.
Katanya, JPJ sebelum ini mengambil pendekatan advokasi mengenai pemakaian tali pinggang keledar tetapi bermula 1 Julai penguatkuasaan tegas akan dijalankan.
“Sekiranya pemandu gagal memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang berkenaan, bukan hanya penumpang yang akan disaman sebalik pemandu dan syarikat pengendali bas turut dikenakan saman.
“Jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang, namun penumpang masih berdegil untuk memakai tali pinggang keledar, saman hanya akan diberikan kepada penumpang. Namun kita akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesahkan sama ada peringatan sudah dibuat atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia, Kota Bharu, Kelantan.
Katanya, pemandu perlu memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.
Beliau berkata, JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan kerana sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan pengendali syarikat bas, malah satu garis panduan juga sudah dikeluarkan berhubung arahan itu.
“Justeru saya mengingatkan semua syarikat pengendali bas dan penumpang supaya mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.