
Beliau berkata, hal itu penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini khususnya melibatkan pelajar.
“Saya minta pihak universiti supaya ada komunikasi dan langkah-langkah yang diambil (pelajar) sendiri itu dipantau oleh mereka (IPT),” katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menziarahi rumah Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Md Amin Md Taff, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Fadzli Adam.
Nurly Sahirah antara 15 penuntut UPSI meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Dalam pada itu, Zambry berkata pihaknya sedang meneliti pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan susulan nahas ngeri itu termasuk memastikan perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.
“Kita mengambil maklum semua perkara dan pandangan berkenaan, terutama (yang dikemukakan) melalui media sosial, untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata, kementerian sentiasa bertindak pantas dan tuntas dalam menyelesaikan masalah menimpa pelajar, khususnya melibatkan kematian.