Kitingan bidas dakwaan palsu RM1.78 juta berkait skandal lombong

Kitingan bidas dakwaan palsu RM1.78 juta berkait skandal lombong

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, tuduhan sengaja direka-reka, didalangi pelaku politik terdesak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata, beliau berhak ambil tindakan undang-undang berhubung laporan media ‘tidak bertanggungjawab dan memudaratkan’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan menyangkal laporan berita mendakwa beliau menerima RM1.78 juta berhubung skandal perlombongan didakwa berlaku di Sabah.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, laporan Malaysiakini itu tidak berasas dan bermotifkan politik, bertujuan menggugat kestabilan dan memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Kitingan, seorang pemimpin utama gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, beliau berhak mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan ‘tidak bertanggungjawab dan memudaratkan’ itu.

“Saya tidak pernah sama sekali menerima apa-apa dana berkaitan dengan permohonan perlombongan atau apa-apa skandal yang didakwa (berlaku). Tuduhan itu sengaja direka-reka, didalangi pelaku politik terdesak yang cuba menggunakan pengaruh tidak wajar ke atas politik Sabah, taktik yang digunakan sejak 1960an lagi.

“STAR menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam kegiatan perlombongan. Kami tidak pernah memohon sebarang lesen perlombongan. Sebagai pendukung Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), kegiatan perlombongan sememangnya bercanggah dengan prinsip pemuliharaan kami,” katanya dalam kenyataan.

Kitingan juga berkata, beliau dan ahli STAR yang lain telah memberikan kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal yang didakwa itu.

Dakwanya, beliau menjadi mangsa tuduhan-tuduhan palsu ini disebabkan usahanya memperjuangkan hak-hak Sabah.

Beliau menjangkakan lebih banyak dakwaan seumpama itu akan timbul menjelang PRN Sabah yang dijangka berlangsung menjelang akhir tahun ini.

“Tidak hairanlah kumpulan dan pihak tertentu akan eksploitasi perkara ini, berharap berita palsu ini akan mengubah dinamik dan landskap politik di Sabah,” katanya.

Dua Adun dan seorang ahli perniagaan dijangka didakwa di mahkamah Kota Kinabalu esok berhubung skandal perlombongan itu.

Skandal yang didakwa itu mula dilaporkan tahun lepas selepas satu siri video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dibocorkan. Video-video tersebut didakwa memaparkan perbincangan melibatkan rasuah dan salah laku berkaitan projek carigali mineral di negeri itu.

Pada Februari, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, kumpulan awal video tersebut tidak mempunyai kredibiliti kerana telah banyak disunting.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.