
Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Shahnawi Muhmad Pirus, berkata antara kesan utama yang timbul ialah penguncupan ruang untuk ekspresi bebas terutamanya apabila penulis berdepan halangan dalam menerbitkan karya yang menyentuh isu sensitif seperti agama, politik, gender, sejarah dan hak asasi manusia.
“Apabila penerbitan boleh dirampas tanpa sebab, penjelasan atau dikenakan tekanan politik jadi industri penulisan akan dianggap sebagai tidak stabil atau berisiko, terutama oleh pelabur, penerbit luar dan pembaca antarabangsa dan ia akan menjejaskan profesionalisme serta keyakinan dalam pasaran penerbitan tempatan,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa merampas dua buku Fixi tulisan Ismi Fa Ismail bertajuk ‘Jelik’ dan ‘Jelik: 2’ di kedai syarikat itu di Sunway Putra Mall dengan alasan untuk menyemak kandungannya.
Naib Presiden Muda Dobby Chew kemudiannya mencadangkan supaya sebuah badan bebas ditubuhkan untuk mengawal selia penerbitan bahan bercetak dan tidak lagi diletakkan di bawah kuasa KDN.
Chew menyifatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sebagai ‘barah kepada demokrasi’ yang wajar dimansuhkan susulan tindakan rampasan itu atas alasan untuk ‘semakan’.
Sementara itu, pakar komunikasi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Syahruddin Awang Ahmad, berkata cadangan penubuhan badan bebas itu perlu melibatkan profesional dan wakil masyarakat bagi menilai bahan bercetak secara objektif dan bebas daripada tekanan politik.
“(Jika ia diwujudkan) penulis indie akan lebih berani menerbitkan karya yang pelbagai dan kontroversial. Ini sekaligus merangsang kreativiti, membantu penulis-penulis baru seperti Ismi Fa Ismail berkarya bebas dan memperkaya landskap sastera negara,” katanya.
Dalam pada itu, Syahruddin turut mengingatkan penulis khususnya daripada kelompok indie agar berhati-hati dalam penghasilan karya mereka terutamanya apabila kandungan menyentuh isu sensitif berkaitan perkauman, agama dan institusi diraja.
“Sekiranya ditulis secara tidak berhati-hati boleh mengundang elemen hasutan atau mengganggu ketenteraman awam seterusnya keharmonian kaum serta agama di negara ini,” katanya.