
Presiden Zahid Hamidi berkata, prosedur parti menetapkan mana-mana individu pernah dikenakan tindakan disiplin perlu berbuat demikian, sebelum kes mereka dipertimbang semula.
Walaupun tidak menamakan individu secara langsung, Zahid dipercayai merujuk kepada bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, yang sedang menjalani penggantungan selama enam tahun.
“Kuasa mutlak terletak kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Dalam ketiadaan Perhimpunan Agung Umno, MKT adalah badan tertinggi membuat sebarang keputusan berkaitan keahlian,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Umno tetap menghormati suara akar umbi dan usul yang dibawa oleh beberapa bahagian parti, namun segala cadangan perlu melalui saluran rasmi termasuk rujukan kepada Biro Politik dan akhirnya dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk pertimbangan serta keputusan muktamad.
Baru-baru ini, dilaporkan Umno Sembrong menyatakan hasrat supaya Hishammuddin diterima semula dalam kepimpinan parti, termasuk meluluskan usul agar penggantungannya ditarik balik serta merta tanpa syarat.
Dalam pada itu, Zahid berkata sehingga kini hanya dua surat rayuan rasmi diterima dan diluluskan, masing-masing daripada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Mohd Sharif.
Penggantungan ke atas Tajuddin ditarik balik pada November.
“Selain dua individu ini, tiada sebarang surat rayuan rasmi diterima oleh Ibu Pejabat Umno. Segala polemik atau kenyataan terbuka tanpa tindakan formal tidak membawa apa-apa nilai dalam prosedur parti.”
Selain Hishammuddin, bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan juga digantung keahlian, tidak lama selepas menyeru Zahid agar meletak jawatan sebagai presiden susulan keputusan PRU15, di mana Umno sekadar menang 26 kerusi Parlimen.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas wakil rakyat Tanjong Karang, Noh Omar, pula dipecat atas alasan melanggar disiplin parti pada PRU15.