Hakim bertemu di sebalik ketaktentuan lanjutan khidmat Tengku Maimun

Hakim bertemu di sebalik ketaktentuan lanjutan khidmat Tengku Maimun

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat difahamkan menyampaikan amanat berhubung kepentingan integriti serta kebebasan badan kehakiman dalam satu acara tertutup petang tadi.

Chief Justice Tengku Maimun Tuan Mat
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada Rabu, 2 Julai, menjadikannya tempoh terakhir berkhidmat pada 1 Julai.
SEPANG:
Berbaki lebih sehari sebelum tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara berakhir, belum ada sebarang petanda lanjutan tempoh akan diberikan.

Justeru, satu majlis perpisahan diadakan sebahagian warga kehakiman bagi memberikan penghormatan kepada mereka.

Dinamakan sebagai Persidangan Khas Hakim-hakim, acara dua hari itu menghimpunkan sekitar 150 hakim dari seluruh negara yang berkumpul di sebuah hotel berhampiran KLIA.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat akan mencapai umur bersara wajib pada 66 tahun, pada Rabu, 2 Julai, menjadikannya hari terakhir memegang jawatan tersebut pada 1 Julai.

Begitu juga dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, yang akan bersara secara rasmi pada 2 Julai mengambil kira mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada 3 Julai.

Tengku Maimun, wanita pertama dilantik menerajui badan kehakiman sebagai ketua hakim negara pada 2019, difahamkan telah menyampaikan amanat kepada hakim berhubung kepentingan integriti serta kebebasan badan kehakiman dalam satu acara tertutup, diadakan petang tadi.

Tengku Maimun enggan mengulas lanjut ketika didekati FMT.

Satu majlis makan malam perpisahan akan diadakan malam ini, manakala esok dijadualkan sesi syarahan oleh penerbit laporan undang-undang.

(Dari kiri) Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Supang Lian, Vazeer Alam Mydin Meera, dan P Ravinthran.

Seorang hakim Mahkamah Rayuan, berkata badan kehakiman akan kehilangan seorang tokoh wanita berwibawa dan pemimpin yang memiliki keupayaan luar biasa.

“Beliau menerajui badan kehakiman dengan keberanian yang tidak pernah goyah, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta iltizam teguh terhadap keluhuran undang-undang.

“Beliau tidak pernah gentar atau memikirkan implikasi peribadi atas setiap keputusan dibuat,” kata hakim yang enggan dinamakan itu kepada FMT.

Menurutnya, selain Tengku Maimun, Abang Iskandar serta hakim Mahkamah Persekutuan yang bakal bersara, Nallini Pathmanathan, turut menjunjung tinggi prinsip dan ideal tertinggi badan kehakiman. Hari terakhir Nallini memegang jawatan pada 22 Ogos.

“Ketiga-tiga tokoh perundangan ini telah mengangkat martabat badan kehakiman Malaysia ke persada antarabangsa. Mereka berjaya memulihkan keyakinan masyarakat dan meletakkan mahkamah kita sebagai antara yang paling dihormati di peringkat global,” katanya.

Hakim tersebut berkata, negara serta profesion perundangan terhutang budi besar atas khidmat dan sumbangan mereka.

Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hakim mahkamah atasan boleh memegang jawatan sehingga berusia 66 tahun, namun tempoh perkhidmatan boleh dilanjutkan sehingga enam bulan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.