Adun Kota Kemuning rayu segera laksana pelan mitigasi banjir

Adun Kota Kemuning rayu segera laksana pelan mitigasi banjir

S Preakas berkata belum terima maklum balas atau dana daripada kerajaan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

banjir taman sri muda
Taman Sri Muda antara kawasan bawah DUN Kota Kemuning yang sering dilanda banjir. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Adun Kota Kemuning S Preakas menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan pelan mitigasi banjir serta menyemak semula keberkesanan sistem sedia ada bagi mengatasi masalah di kawasan itu yang dilihat seperti tiada kesudahan.

Preakas berkata, pihak berkuasa terutama Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu menilai semula aspek penyelenggaraan berkala termasuk naik taraf longkang di kawasan itu yang menjadi antara punca banjir.

“Tindakan ini perlu dipercepatkan kerana ia melibatkan kerugian harta-benda penduduk. Kita tahu DUN Kota Kemuning sering berdepan masalah banjir,” katanya selepas menghadiri program MyIdentiti di Dewan Aster, Bukit Rimau.

Beliau berkata, antara kawasan sering terjejas akibat banjir termasuk Taman Sri Muda, Desa Kemuning, Bukit Kemuning, Taman Lanchong Jaya, Taman Greenville, Kampung Bukit Lanchong dan beberapa kawasan lain.

“Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang maklum balas atau dana daripada kerajaan. Tiada tindakan diambil berhubung isu banjir ini. Saya merayu kerajaan pusat membantu kami,” katanya.

S Preakas.
S Preakas.

Preakas juga sudah berhubung dengan kerajaan negeri dan pusat berhubung masalah banjir di kawasan itu tetapi sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Saya hantar surat kepada menteri kerja raya minta dana disalurkan untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf longkang sepanjang Jalan Bukit Kemuning, namun tiada sebarang tindakan atau maklum balas diterima.

“Sampai hari ini, tiada seorang pun termasuk pengarah JKR Selangor yang datang bertemu saya untuk membincangkan isu kerosakan jalan di Bukit Kemuning. Bila ditanya, mereka kata tiada dana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.