64% syarikat kenderaan dagang gagal patuh perkara mandatori, kata KP JPJ

64% syarikat kenderaan dagang gagal patuh perkara mandatori, kata KP JPJ

Aedy Fadly Ramli berkata pecahan syarikat gagal libat 43 pengendali lori dan 42 pengendali bas persiaran serta bas ekspres.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, berkata antara ketidakpatuhan adalah tidak pasang GPS dan tidak rekod syarat pandu kurang lapan jam sehari serta rehat 30 minit bagi setiap empat jam perjalanan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 64% syarikat kenderaan perdagangan diaudit Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk pengendali lori dan bas persiaran serta ekspres gagal patuh perkara mandatori, kata Ketua Pengarah Aedy Fadly Ramli.

Katanya, pecahan syarikat gagal melibatkan 43 syarikat pengendali lori dan 42 syarikat bas persiaran serta bas ekspres.

Beliau menjelaskan, antara ketidakpatuhan utama dikesan termasuk kegagalan melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tiada pemasangan sistem penentu kedudukan global (GPS) pada semua kenderaan serta kegagalan membuat pemantauan GPS secara berkala.

Menurutnya, banyak syarikat juga tidak merekodkan syarat pemanduan kurang lapan jam sehari serta rehat 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.

Beliau berkata, Ops Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (Jisa) bermula pada 23 Jun dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara melibatkan pengauditan ke atas 133 syarikat pengendali kenderaan perdagangan.

“Daripada jumlah itu, 85 syarikat didapati gagal mematuhi garis panduan Jisa, manakala hanya 48 syarikat lulus audit berkenaan,” katanya menurut Bernama selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ, di Kota Bharu.

“Terdapat juga syarikat yang tidak menyediakan pelan tindakan keselamatan dan gagal memaparkan nombor talian penting serta nama pegawai bertanggungjawab pada kenderaan bagi tujuan aduan.”

Aedy berkata, JPJ akan membuat syor agar dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen kepada syarikat terbabit.

“JPJ akan menyerahkan senarai syarikat yang gagal dalam audit Jisa kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk tindakan lanjut, termasuk cadangan penggantungan atau pembatalan lesen pengendalian syarikat berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.