
PETALING JAYA: Tiga dilaporkan maut manakala seorang kritikal selepas bot dinaiki terbalik di Pulau Perhentian, Terengganu, malam tadi.
Insiden dipercayai berlaku selepas ribut di hadapan sebuah resort di pulau itu, kira-kira 10 malam, lapor Harian Metro.
Berdasarkan maklumat awal bot itu dinaiki 16 orang termasuk seorang pemandu bot.
Menurut sumber, mangsa masih berada di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian menunggu bantuan untuk dihantar ke Jeti Kuala Besut.
Sementara itu, Ketua Polis Besut, Azamuddin Ahmad @ Abu akan mengadakan sidang media pagi ini.