SST tambah hasil tapi perlu elak ketirisan, kata pakar

SST tambah hasil tapi perlu elak ketirisan, kata pakar

Ahmed Razman Abdul Latiff berkata banyak pembaziran dan ketirisan hasil disebabkan sistem perolehan tidak sistematik.

MOF
Malaysia dijangka memperoleh hasil RM5 bilion tahun ini manakala RM10 bilion pada 2026 menerusi peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menutup segala ruang kepada ketirisan bagi memastikan hasil tambahan sehingga RM10 bilion setahun menerusi peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dibelanjakan sebaiknya, kata ahli ekonomi.

Menurut Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, reformasi perolehan yang antaranya menghentikan amalan runding terus digantikan tender terbuka mampu mengatasi kebocoran pendapatan akibat sistem kurang sistematik.

Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

“Reformasi perolehan penting kerana kita tidak mahu hasil tambahan RM10 billion daripada pelarasan kadar SST dibazirkan atau tiris disebabkan sistem lemah selain membuka ruang elemen rasuah.

“Statistik menunjukkan majoriti pembaziran, ketirisan dan rasuah berpunca sistem perolehan itu sendiri (lemah),” katanya kepada FMT.

Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata kerajaan melaksanakan reformasi sistem perolehan bagi memastikan hasil negara dibelanjakan secara optimum dan mengelakkan ketirisan.

Hasil itu menurut Johan termasuk RM5 bilion dijangka dijana pada tahun ini manakala RM10 bilion untuk 2026, menerusi peluasan skop SST mulai 1 Julai depan.

Kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan.

Cukai perkhidmatan (ST) pula diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.

Bagaimanapun, perkhidmatan terutama membabitkan warga Malaysia terus dikecualikan ST antaranya jagaan kesihatan awam dan swasta.

Afzanizam Rashid
Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan reformasi sistem perolehan seiring peluasan skop SST membantu mengurangkan defisit fiskal.

Menurutnya, inisiatif terbabit yang membantu peluasan dasar fiskal akan memanfaatkan rakyat dari segi pertambahan jumlah bantuan sosial dan dana pembangunan infrastruktur.

Beliau memberi contoh ST diselaraskan kepada 8% pada 1 Mac tahun lalu telah melonjakkan kutipan SST sebanyak 30.3% pada suku pertama tahun ini manakala subsidi bersasar diesel pula mengurangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial sebanyak 19.4%.

“Justeru, defisit fiskal menyusut kepada 4.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2024.

“Keadaan itu membolehkan kerajaan menaikkan dana Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion tahun ini berbanding RM10 bilion pada 2024,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.