
Sejak bulan lepas, agensi antirasuah itu dilaporkan telah mengambil tindakan berhubung beberapa aset berprofil tinggi dikaitkan dengan Daim dan keluarganya di United Kingdom (UK) serta Malaysia.
Sementara itu, aset dan harta tidak diisytiharkan dalam siasatan SPRM berada di Amerika Syarikat (AS), Singapura, Jepun, Itali dan Jersey, wilayah Britain di Selat Inggeris, luar pantai Normandy, Perancis.
Memetik sumber, Berita Harian melaporkan, tindakan sama juga akan diambil melibatkan beberapa negara lain yang ‘menyimpan’ harta itu.
Katanya, SPRM akan mendapatkan perintah larangan untuk memastikan tiada tindakan lain diambil terhadap semua asset terbabit sementara pihaknya menjalankan siasatan terperinci.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tindakan lanjut sedang diusahakan, namun beliau enggan mengulas lanjut.
Khamis lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pihak berkuasa UK bersetuju SPRM mengenakan perintah larangan terhadap sejumlah aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta milik keluarga Daim dan dan proksinya.
Pada 3 Jun lepas, SPRM membekukan akaun bank dan tujuh hartanah, termasuk tiga kediaman mewah di London, membabitkan nilai berjumlah GBP132 juta (RM758.2 juta).
Tindakan diambil terhadap harta didakwa milik isteri Daim, Na’imah Abdul Khalid dan keluarga itu berkait kesalahan di Bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.