Perkasa institusi perundangan, SPRM, sekretariat himpunan gesa kerajaan

Perkasa institusi perundangan, SPRM, sekretariat himpunan gesa kerajaan

Gesaan itu antara tuntutan utama sempena Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 berlangsung di ibu negara hari ini.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah
Peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 mula berkumpul di pekarangan sebuah pusat beli-belah di ibu negara sejak 2 petang tadi, sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0 menggesa kerajaan memperkukuh integriti sistem perundangan serta memperkasa institusi pencegahan rasuah negara.

Gesaan itu antara beberapa tuntutan utama yang dibuat sempena Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Sekretariat itu turut menggesa agar pemisahan kuasa antara Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya disegerakan, menerusi pindaan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, bagi menjamin kebebasan fungsi pendakwaan tanpa pengaruh eksekutif.

Selain itu, sekretariat turut mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kedudukan sebagai institusi bebas di bawah Perlembagaan, serta diberi autonomi penuh dalam melaksanakan fungsi siasatan dan pendakwaan.

“Penambahbaikan dalaman turut disarankan, termasuk penetapan had penggal ketua pesuruhjaya SPRM, bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban jangka panjang,” kata sekretariat itu, lapor Sinar Harian.

Sekretariat itu juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Akta Pendanaan Politik (PFA) berdasarkan saranan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) bagi memastikan pembiayaan politik lebih telus dan berakauntabiliti.

Turut dibangkitkan permintaan agar kerajaan menjelaskan status kes kematian Teoh Beng Hock, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

“Isu itu masih menjadi perhatian rakyat dan perlu diberikan keutamaan dalam usaha menegakkan keadilan serta mengembalikan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya.

Menurut sekretariat itu, tuntutan-tuntutan berkenaan dianggap sebagai langkah minimum yang perlu dilaksanakan segera bagi membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi dan integriti dalam pentadbiran.

Sekretariat itu menegaskan mereka akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dalam mengangkat isu ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran awam, selaras dengan aspirasi Malaysia yang bebas daripada rasuah.

Sebelum ini, peserta himpunan anjuran NGO bersama persatuan mahasiswa beberapa universiti tempatan itu mula berkumpul sekitar 2 petang di pekarangan sebuah pusat beli-belah.

Himpunan tanda solidariti menentang rasuah dalam pentadbiran negara itu akan berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.