Kebakaran Hutan Melintang: Bantuan segera disalur kepada mangsa, kata TPM

Kebakaran Hutan Melintang: Bantuan segera disalur kepada mangsa, kata TPM

Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pegawainya telah turun padang santuni keluarga yang terjejas.

Kebakaran di Hutan Melintang, Bagan Datuk, awal pagi tadi memusnahkan 23 premis, termasuk 19 rumah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa kebakaran membabitkan lebih 20 rumah dan premis di Hutan Melintang, Bagan Datuk, awal pagi tadi, kata Zahid Hamidi.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pegawai daripada pejabatnya telah segera turun padang untuk menyantuni semua keluarga yang terjejas.

“InsyaAllah, bantuan segera akan disalurkan dan setiap mangsa akan diberi perhatian serta sokongan yang sewajarnya,” kata timbalan perdana menteri itu di Facebook.

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutamanya pasukan bomba, anggota keselamatan dan para sukarelawan, yang terlibat dalam usaha menyelamat dan mengawal keadaan.

“Tindakan pantas dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan amat dihargai. Doa saya bersama semua mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 4.30 pagi tadi di Kampung Bagan Pasir Laut, sebanyak 23 premis musnah, iaitu 19 rumah, sebuah rumah ibadat bukan Islam, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan forensik bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.