Kami tak pernah dakwa terima tawaran BN, kata PBS

Kami tak pernah dakwa terima tawaran BN, kata PBS

Ketua Pemudanya Christoper Mandut menyifatkan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin sebagai ‘defensif dan dendam’ berhubung reaksi beliau.

Christoper Mandut n Bung Moktar Radin
Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut mengingatkan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin supaya merenung sejarah partinya sendiri, dengan mengatakan bahawa politik tidak statik.
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah mendakwa menerima tawaran bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN, kata Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut.

Dalam kenyataan hari ini, beliau mengkritik ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin kerana bersikap ‘defensif dan dendam’ dalam reaksinya terhadap pendirian PBS menentang bekerjasama dengan BN.

Mandut berkata PBS hanya menjelaskan pendiriannya bahawa parti itu tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan BN pada PRN Sabah akan datang.

“Tidak kira sama ada jemputan dibuat atau tidak. Kami hanya membuat pendirian berprinsip dalam isu itu,” katanya.

Kelmarin, Bung menuduh pemangku presiden PBS Dr Joachim Gunsalam sebagai mengalami episod ‘khayalan politik’ kerana mengumumkan partinya telah ‘menolak’ kerjasama BN dalam pilihan raya negeri.

“Jadi persoalannya apa sebenarnya yang anda tolak, Datuk Joachim? Ini nampaknya satu lagi episod khayalan politik.

“Anda tidak boleh menolak sesuatu yang tidak pernah ditawarkan. Tolonglah, jangan perasan,” katanya.

Joachim dilaporkan berkata majoriti ahli majlis tertinggi tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan BN dalam pilihan raya berkenaan, sambil menambah bahawa parti itu kekal komited kepada GRS.

PBS dahulunya merupakan komponen BN tetapi meninggalkan gabungan itu selepas ia hilang kuasa ke atas Putrajaya pada PRU14.

Bung dilaporkan berkata bahawa BN tidak berminat lagi dengan bekas sekutu yang pernah meninggalkan gabungan itu.

Bagaimanapun, Mandut mengingatkan Bung untuk merenung sejarah partinya sendiri, dengan mengatakan bahawa politik tidak statik.

“Parti-parti menyusun kedudukannya berdasarkan keperluan orang yang mereka wakili. Apa yang penting ialah sama ada pilihan itu dibuat untuk kepentingan rakyat, bukan kerana cita-cita peribadi,” katanya.

Mandut berkata PBS, sebagai salah satu parti politik tertua di Sabah, kekal fokus pada perjuangan terasnya untuk menegakkan hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami mempunyai rekod politik yang jelas dan terus bersama dengan generasi rakyat Sabah. Tidak seperti sesetengah orang, kami tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk kekal relevan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.