Isu Zaharuddin jejas naratif ‘PAS for All’ tarik bukan Melayu, kata penganalisis

Isu Zaharuddin jejas naratif ‘PAS for All’ tarik bukan Melayu, kata penganalisis

Penganalisis berkata ia juga menyebabkan orang bukan Melayu mempersoalkan keikhlasan PAS dalam memperjuangkan nasib mereka.

muktamar pas
Menurut penganalisis, isu membabitkan Yang Di Pertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad akan menyebabkan bukan Melayu skeptikal dan tidak lagi percaya dengan naratif dilaungkan itu.
PETALING JAYA:
Isu hantaran kontroversi pemimpin akar umbi PAS yang memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama baru-baru ini dilihat berpotensi meleburkan kepercayaan bukan Melayu terhadap naratif ‘PAS for All’ parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ariff Aizuddin Azlan, berkata walaupun Yang Di Pertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad telah menjelaskan niatnya namun ia tetap memberi kesan besar terhadap sokongan bukan Melayu kepada parti itu.

Katanya, ia sekali gus akan menyebabkan bukan Melayu bersikap skeptikal dan tidak lagi percaya kepada naratif yang dilaungkan itu.

“Kenyataan yang dilontarkan itu akan membentuk persepsi bahawa parti yang berimejkan Islam ini tidak seperti yang digambarkan.

Ariff Aizuddin Azlan
Ariff Aizuddin Azlan.

“Walaupun ia dibuat atas kapasiti individu, orang ramai tetap akan mengaitkannya dengan PAS. Ini bukanlah kes terpencil kerana sebelum ini juga terdapat banyak kenyataan berbaur perkauman yang dilontarkan.

“Sudah tentu ia menyebabkan orang bukan Melayu mempersoalkan keikhlasan PAS dalam memperjuangkan nasib mereka,” katanya kepada FMT.

Manakala Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Azmi Hassan pula berkata, ia adalah satu pendekatan yang silap sekiranya pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman hanya untuk memperkukuh sokongan orang Melayu.

“Orang Melayu tahu menilai yang baik dan buruk. PAS kini memerlukan sokongan bukan Melayu.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Bila ada pemimpin buat kenyataan sebegini, ia seolah-olah menunjukkan mereka tidak memerlukan sokongan orang bukan Melayu,” katanya.

Zaharudin sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar Johnny Lim Seng dengan niat untuk menyedarkan masyarakat tentang program MM2H, sehingga menerima kritikan hebat terutama daripada pemimpin DAP.

Beliau mendakwa gambar Lim itu hanya bersifat hiasan dan tidak bertujuan menghina atau memperlekehkan pemasyhuran berkenaan, sambil mengancam untuk menyaman sebuah laman sesawang serta Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim atas dakwaan memutarbelit hantarannya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang turut mengulas isu itu pula berkata hantaran kontroversi itu adalah pandangan peribadi individu terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.