2 lagi pelajar MRSM Besut direman berkait kes buli

2 lagi pelajar MRSM Besut direman berkait kes buli

Perintah reman tiga hari itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Semalam, lima pelajar lelaki MRSM Besut yang berusia antara 15 hingga 17 tahun turut direman untuk membantu siasatan kes buli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli di sekolah berkenaan.

Perintah reman terhadap dua pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, menurut Berita Harian.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semalam, lima pelajar lelaki sekolah terbabit yang berusia antara 15 hingga 17 tahun direman sehingga esok.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar sekolah itu didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior hingga cedera pada perut, rusuk dan belakang badan.

Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu dipetik sebagai berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, dia diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.