
Bersara daripada perkhidmatan awam pada 21 Jun lalu, Ruji menyifatkan cakap-cakap politik di media sosial itu masih bersifat spekulasi dan meminta semua pihak menunggu pengumuman.
“Tunggu dulu bukannya lama pun,” katanya kepada FMT sambil meminta tumpuan turut diberikan kepada 72 kawasan DUN lain di Sabah.
Media tempatan Sabah dan media sosial hangat memperkatakan persaingan sengit bagi pertandingan di DUN Merotai yang kini disandang Sarifuddin Hata daripada Warisan.
Ini memandangkan pembabitan beberapa figura besar pada PRN yang akan diadakan tahun ini termasuk Ruji – dikatakan bakal membawa cabaran PH.
Selain ketua setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, anak jati Tawau itu juga pernah memegang jawatan sama di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri.
Beliau juga pernah menjadi pengarah Pembangunan Negeri Sabah (SDO) dan ketua pegawai eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Mengakui mahu berehat selepas 30 tahun dalam perkhidmatan awam, Ruji bagaimanapun tidak menolak kemungkinan meneruskan khidmat kepada rakyat tanpa mengira kapasiti.
“Saya ada pengalaman, masih boleh bergerak tidak semestinya (berkhidmat) dalam perkhidmatan awam atau pun jadi sesuatu kan,” katanya berseloroh.
Namun, Ruji enggan menjawab sama ada perkhidmatan itu atas pentas politik.
“Itu no komen,” katanya.
Pada PRN 2020, Sarifuddin yang juga bekas pembantu menteri kewangan Sabah mempertahankan kedudukan sebagai wakil rakyat DUN Merotai dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 1,587 undi.