Malaysia perlu ‘reset’ ketiga selesai pelbagai masalah, kata Saifuddin

Malaysia perlu ‘reset’ ketiga selesai pelbagai masalah, kata Saifuddin

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata reset ketiga iaitu Konsensus Nasional Baru boleh dicapai melalui matlamat disepakati, kemakmuran bersama dan kerajaan penyayang.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata pembinaan bangsa Malaysia yang majmuk boleh dibangunkan dengan beberapa pemikiran, antaranya kesepaduan sosial.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen berkata Malaysia perlu ‘reset’ ketiga untuk menyelesaikan pelbagai masalah merentasi kaum dan agama melalui kesepaduan politik.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata sebelum ini negara mengalami reset terpenting apabila mencatat kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.

Menurut wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu, langkah berkenaan melahirkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang mengatur kehidupan rakyat dari pelbagai bahasa, kaum, agama, jantina dan wilayah.

“‘Reset’ kedua pula selepas tragedi 13 Mei 1969, apabila Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, melahirkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baharu untuk ‘menyusun semula masyarakat yang muhibah’.

“Kini, dengan timbunan beban masalah dan bagi mendepani masa depan, (Ketua Pembangkang) Hamzah Zainudin mencadangkan reset baru (ketiga), iaitu Konsensus Nasional Baru.

“Ia tidak terhad kepada satu kaum, agama atau wilayah,” katanya dalam kolum Merentas Ruang di Sinar Harian sempena Sambutan Maal Hijrah 1447 bertajuk ‘Pengajaran Hijrah dan Konsensus Nasional Baru’.

“Sebaliknya, menyatupadukan kelas politik, masyarakat sivil, semua pihak dan rakyat dengan tiga batu asas, iaitu matlamat disepakati, kemakmuran bersama dan kerajaan penyayang.”

Menurut bekas menteri luar negeri itu, pembinaan bangsa Malaysia yang majmuk boleh dibangunkan dengan beberapa pemikiran antaranya kesepaduan sosial iaitu bersetuju untuk bersetuju, bersetuju untuk tidak bersetuju serta kehidupan bersama dalam budaya damai.

“Dalam melaksanakannya, antara lain, kita perlu menghayati politik baru iaitu demokrasi manhaj atau metode Malaysia yang pelbagai kaum dan kesederhanaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.