
Naib Canselor Noor Azuan Abu Osman menegaskan tidak berlaku sebarang pengurangan kuota atau pengambilan tempat bagi pelajar Saluran Perdana (UPU) akibat kewujudan SATU.
“Jumlah enrolmen pelajar melalui UPU masih sama, dengan semua unjuran kemasukan yang ditetapkan oleh KPT dipenuhi sepenuhnya setiap tahun dan turut meningkat,” menurut kenyataan.
SATU ialah saluran alternatif untuk memberi ruang kepada pelajar mengikuti program di UM tanpa menjejaskan kuota atau tempat yang diperuntukkan kepada calon UPU.
Manakala UPU diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk kemasukan ke program-program pengajian prasiswazah.
Azuan mengulas data yang dikemukan Wee Ka Siong dalam satu video pada 24 Jun lalu.
Beliau menegaskan proses pemilihan pelajar ke dalam program akademik adalah berdasarkan meritokrasi serta mematuhi peraturan dan kaedah yang terpakai, untuk kedua-dua saluran kemasukan.
Mengambil contoh program kritikal perubatan (MBBS), pelajar perlu lulus ‘Medical Selection Admission Test’ dan lulus temuduga sebelum dikeluarkan tawaran, katanya.
“UPU terus memberi keutamaan kepada pelajar berkelayakan akademik daripada semua aliran pra universiti termasuk STPM, Matrikulasi dan Asasi,” katanya.
Azuan turut mempertahankan rasional mewujudkan laluan SATU, iaitu bagi menampung permintaan tinggi tanpa membebankan laluan UPU.
“Persaingan UPU amat sengit terutamanya dalam program berprestij seperti perubatan, pergigian dan farmasi. Ribuan pelajar cemerlang tidak ditawarkan tempat kerana kekangan kapasiti. SATU membuka peluang tambahan tanpa menjejaskan kuota UPU,” katanya.
Wee dalam kenyataan disiarkan MCA pada 24 Jun lalu mengesyorkan kepada kerajaan supaya menangguhkan pengambilan SATU dan memperluas pengambilan kapasiti UPU bagi MBBS, antara lain.
Wee berkata beliau bersependapat dengan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman, berhubung kemasukan pelajar ke universiti awam dalam kenyataan pada Disember tahun lepas.
Exco dalam kerajaan Perikatan Nasional di Kedah itu sebelum ini dilaporkan mendakwa bahawa kemasukan pelajar ke universiti melalui ‘saluran terbuka’ telah menafikan hak anak-anak golongan miskin.
Dakwaan tersebut disangkal Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA), yang menjelaskan pengambilan pelajar melalui saluran perdana, yang melibatkan subsidi kerajaan, sentiasa beri keutamaan pada pelajar B40.
‘Saluran terbuka’ pula, yang tidak melibatkan subsidi kerajaan untuk pelajar T20 dan antarabangsa, hanya dibuka selepas kuota saluran perdana dipenuhi.
Menjawab penjelasan tersebut, Haim dilapor berkata kenyataannya berhubung kemasukan pelajar ke universiti awam ‘telah diambil di luar konteks’.
Menurutnya, perkara yang beliau bangkitkan adalah melalui saluran perdana, ramai dalam kalangan anak-anak keluarga miskin yang tidak dapat mengikuti program kompetitif walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melepasi syarat minimum kerana terdapat ‘cut off’ CGPA ditetapkan.
Wee mengambil maklum penjelasan JKNCR UA, lalu menarik perhatian kepada peningkatan ketara jumlah kemasukan melalui SATU, bagi tempoh lima tahun iaitu 142 (2018); 185 (2019); 209 (2020); 351 (2021); dan 399 pada tahun 2022.
“Peningkatan ini pastinya mengundang kebimbangan apabila mereka di kalangan keluarga maha kaya boleh memasuki IPTA sebegitu mudah dan menjejaskan pelajar yang kurang berkemampuan walaupun mereka lebih layak dari segi pencapaian akademiknya,” kata Wee.
Sedia bincang perluas kapasiti UPU
Sementara itu, Azuan berkata UM menyambut baik saranan memperluas kapasiti UPU terutama bidang berkaitan perubatan serta kursus kritikal.
Beliau bagaimanapun menjelaskan sebarang penambahan tempat bukanlah suatu keputusan yang boleh dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada kelulusan badan profesional seperti Majlis Perubatan Malaysia, Lembaga Farmasi Malaysia dan Majlis Pergigian Malaysia, yang bertanggungjawab menjaga standard dan integriti profesion kesihatan.
“Namun begitu, universiti sentiasa terbuka dan positif untuk mengadakan perbincangan bersama badan-badan berkaitan demi memastikan keperluan sebenar negara dapat dipenuhi,” katanya.