
Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata tiga suspek berusia 19 serta 20 tahun itu dikenali mangsa.
Menurutnya, mereka ditahan di sekitar Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan kira-kira 9 pagi semalam hingga 2 pagi tadi.
“Tangkapan dilakukan dalam masa 48 jam setelah laporan polis diterima,” katanya dalam kenyataan.
Norhizam berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap tiga suspek di Mahkamah Sesyen Sepang pagi ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penuntut ijazah sarjana muda fisioterapi di Universiti Cyberjaya, Maniishhapriet Kaur Akhara, 20, ditemui mati di unit kondominiumnya oleh rakannya kira-kira 10 pagi 24 Jun lalu.
Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak tinggal di unit itu bersama lima pelajar lain, tetapi rakan serumahnya dilaporkan pulang ke kampung untuk bercuti pada 21 Jun lalu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Polis berkata, tiada kecederaan konsisten dengan rogol dan tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk, tetapi sebuah komputer riba, telefon bimbit, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai mangsa dilaporkan hilang.
Polis turut berkata, suspek dikesan melakukan lima hingga enam transaksi pengeluaran wang menggunakan kad ATM mangsa selepas wanita itu dibunuh.