
Dalam satu kenyataan hari ini, universiti tersebut melahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan serta warga universiti.
“Keselamatan pelajar, keluarga mereka dan komuniti sekeliling kekal sebagai keutamaan utama kami.
“Sebagai tambahan kepada langkah-langkah sedia ada, kami sedang bekerjasama rapat dengan pakar keselamatan untuk mengukuhkan lagi prosedur keselamatan kami,” kata kenyataan itu.
Katanya, universiti juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tepat.
Ia juga menggesa orang ramai dan media supaya menghormati peribadi keluarga mangsa dan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Kami akan terus memberikan makluman secara berkala jika perlu dan komited untuk menyokong komuniti kami sepanjang tempoh ini,” katanya.
Maniishapriet Kaur Akhara, 20, yang berasal dari Kuching, Sarawak itu, ditemui di unit kondominium Mutiara Ville oleh seorang rakan pada pagi 24 Jun, dengan kecederaan pada tubuhnya.
Mangsa sedang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang fisioterapi dan berkongsi unit itu bersama lima pelajar lain.
Lima pelajar itu telah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk cuti pada 21 Jun.
Ketua polis Sepang Norhizam Bahaman berkata siasatan kes bunuh dibuka selepas satu laporan diterima pada jam 10.28 pagi.
Bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian adalah akibat hentakan objek tumpul di kepala. Tiada kecederaan yang konsisten dengan rogol.