Pengerusi Ikim Nur Manuty meninggal dunia

Pengerusi Ikim Nur Manuty meninggal dunia

Muhammad Nur Manuty meninggal dunia pada 11.27 pagi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada usia 76 tahun.

Nur Manuty
Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia pada 8 Mei 2023. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Muhammad Nur Manuty meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Berita pemergian bekas senator berusia 76 tahun itu disahkan oleh pegawai khasnya Firhan Rosli.

Firhan berkata pemergian Muhammad Nur merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.

“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman,” katanya dalam satu kenyataan.

Firhan berkata, jenazah Muhammad Nur akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

Muhammad Nur dilantik sebagai pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Okt 2018 hingga 30 Sept 2021.

Beliau juga pernah dilantik sebagai senator dari 2015 hingga 2018.

Pada 18 Jan lepas, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.