
Kenyataan itu menyusul dakwaan KDEB Waste Management Sdn Bhd, tindakan pemandu lori menyembunyikan saman dikeluarkan terhadap mereka menjadi punca syarikat itu menanggung 22,017 saman aktif seperti didedahkan Loke semalam.
“Saman itu tetap saman. Permit kita keluarkan kepada KDEB, bukan pemandu. Bila kenderaan itu disaman, pemilik kenderaan ada tanggungjawabnya.
“Maka itu urusan dalaman mereka bagaimana nak mengurus pemandu,” katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat pengumuman pendigitalan My50.
Loke berkata, terpulang kepada KDEB bagaimana mengurus kaedah saman bersama pemandu terbabit.
Semalam, Pengarah Urusan KDEB, Ramli Tahir, berkata pihaknya mempunyai hampir 1,500 lori didaftarkan atas nama syarikat itu namun dikendalikan sub kontraktor di seluruh Selangor.
“Bila operator ini dapat saman selalunya pemandu akan sembunyikannya, tak beri kepada kontraktor atau kami. Dalam kata lain KDEB langsung tidak mengetahuinya.
“Apabila tak bayar tiga bulan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman mengikut alamat berdaftar dan sampai ke pejabat kami di Shah Alam,” katanya kepada FMT.
KDEB dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pihaknya akan memperkukuh sistem pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan sub kontraktor serta memastikan pematuhan undang-undang secara konsisten,.
Mengulas dakwaan pihak berkuasa lambat bertindak sehingga mengakibatkan ‘banyak’ saman tertunggak, Loke berkata beliau sudah mengarahkan JPJ lebih agresif dalam aspek pemantauan berkaitan isu berkenaan.
Katanya, tindakan proaktif perlu diambil bagi memastikan pesalah mahupun syarikat terbabit tidak mengulangi kesilapan itu.
“Apabila kita dedahkan kita dikatakan lambat, kalau kita tak bertindak cakap kita tak bertindak. Jadi sekarang kita nak percepatkan,” katanya.
Semalam, Loke mendedahkan 11 pengendali kenderaan melakukan banyak kesalahan lalu lintas termasuk syarikat pengurusan sisa pepejal milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) iaitu KDEB yang memiliki 22,017 saman tertunggak.
Selain itu, Mainza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Machinery Sdn Bhd (3,620), VK Transport Sdn Bhd (3,016), Ng Swee Aik Trading Sdn Bhd (2,352) dan Boon Chin Transport Sdn Bhd (2,339).
Saman dikeluarkan itu meliputi pelbagai kesalahan tekninal melibatkan brek dan tayar yang tidak mengikut spesifikasi atau ubah suai kenderaan, tiada lesen memandu, lebih muatan, tiada lesen kenderaan (LKM) dan memandu melebihi had laju.
Syarikat terbabit diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman semalam untuk menyelesaikan saman tertunggak di pejabat JPJ negeri dan cawangan.