Pelantikan CEC DAP demi kukuh perpaduan, sokongan India, kata penganalisis

Pelantikan CEC DAP demi kukuh perpaduan, sokongan India, kata penganalisis

Penganalisis berkata pelantikan Lim Hui Ying dan V Sivakumar ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP bagi memulihkan keretakan dan meningkatkan perwakilan India.

Lim Hui Ying V Sivakumar
Pemimpin DAP Lim Hui Ying dan V Sivakumar yang disingkirkan pada pemilihan Mac lalu dilantik menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu.
PETALING JAYA:
Keputusan DAP melantik Lim Hui Ying dan V Sivakumar ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dilihat sebagai usaha merapatkan barisan dan meningkatkan perwakilan India dalam parti itu, kata seorang penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, dua pelantikan itu sudah dijangkakan, dengan pemilihan Sivakumar mencerminkan desakan untuk kepelbagaian etnik dalam parti.

“Sivakumar dilantik kerana mereka mahu meningkatkan suara bukan Cina, terutamanya suara India, jadi itu okey.

“Beliau juga pemimpin akar umbi DAP berpengalaman. Adalah baik dia berada di sana (CEC) untuk memberikan keseimbangan kaum India,” katanya kepada FMT.

James Chin
James Chin.

Chin berkata, pelantikan Hui Ying menandakan hubungan dengan keluarga Lim pulih berikutan kritikan awal mengenai dominasi mereka dalam parti.

“Parti (nampaknya) menentang keluarga Lim (semasa pemilihan CEC), jadi saya fikir ini menandakan parti menghantar isyarat mereka tidak mahu melawan keluarga Lim.

“Oleh itu, mereka benarkan dua Lim berada dalam CEC. Ia satu bentuk tawaran damai.”

Abang Hui Ying yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dipilih menganggotai CEC pada pemilihan itu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pelantikan Hui Ying mungkin untuk membolehkan beliau mengekalkan jawatan timbalan menteri pendidikan kerana sukar mewajarkan kedudukannya dalam Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, jika keadaan sebaliknya.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Jadi, untuk mewajarkan kehadirannya sebagai timbalan menteri, dia dilantik ke CEC.”

Katanya, pelantikan Sivakumar boleh menimbulkan persoalan memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah menyiasat Kementerian Sumber Manusia semasa beliau menjadi menteri.

“Stigma disiasat SPRM menjadikannya sukar untuk mewajarkan pelantikan Sivakumar.”

Pada April 2023, Sivakumar menolak gesaan meletak jawatan atau bercuti selepas SPRM menyoalnya dua kali berhubung dakwaan rasuah dalam pengambilan pekerja asing.

Tiga pembantunya direman, tetapi kemudian dibebaskan. Sivakumar kemudian memecat lima pembantunya.

Lim dan Sivakumar antara 10 individu dilantik ke CEC awal minggu ini. Kedua-duanya bertanding dalam pemilihan CEC Mac lalu, tetapi gagal memperoleh undi mencukupi.

Baki lapan lagi ialah Kelvin Yii, V Papparaidu, M Thulsi Thivani, Chen Kah Eng, Yeoh Soon Hin, Sheikh Umar Bagharib Ali, Yap Yee Vonne dan Wu Him Ven.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.