Kota Madani bantu penjawat awam jimat RM1,000 sebulan

Kota Madani bantu penjawat awam jimat RM1,000 sebulan

Bandar pintar baharu di Putrajaya akan kurangkan kos perumahan, pengangkutan dan persekolahan untuk penjawat awam.

anwar ibrahim kota madani
Kota Madani bernilai RM4 bilion akan menawarkan 10,000 kuarters kediaman berkepadatan tinggi untuk lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak dan pelbagai kemudahan awam. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PUTRAJAYA:
Projek Kota Madani dijangka membantu penjawat awam yang bekerja di Putrajaya menjimatkan kos perbelanjaan sehingga RM1,000 sebulan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Berucap pada majlis pecah tanah pembangunan RM4 bilion hari ini, Zaliha berkata ramai penjawat awam terpaksa menyewa rumah di luar ibu kota pentadbiran sehingga menyebabkan perbelanjaan bulanan tinggi akibat kos pengangkutan.

“Dengan adanya Kota Madani, penjawat awam boleh tinggal di kuarters kerajaan dengan kos minimum, dianggarkan sekitar RM400.

“Sekolah akan berada dalam jarak berjalan kaki dan kawasan itu akan selamat. Mereka tidak perlu risau. Mereka juga boleh menjimatkan kos bahan api.

“Saya menjangkakan penjawat awam mampu menyimpan sehingga RM1,000 sebulan. Ini satu perkembangan yang baik dan mereka boleh menggunakan wang itu untuk sesuatu yang lebih berfaedah,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang merasmikan majlis itu, berkata konsep di sebalik Kota Madani melangkaui pembangunan bandar.

“Kita tidak perlu menjadi seperti New York atau London untuk dilihat sebagai bandar moden. Bandar-bandar itu mempunyai kelemahan mereka sendiri.

“Apa yang menarik tentang Bandar Madani ialah segala-galanya boleh dilakukan hanya dengan berjalan kaki. Bagaimana kita melakukannya tanpa berasa sangat panas? Itu tugas arkitek,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.