Kini Zaharuddin dakwa hantaran untuk beri kesedaran berkait MM2H

Kini Zaharuddin dakwa hantaran untuk beri kesedaran berkait MM2H

YDP PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad dakwa hantaran selit gambar leftenan jeneral Cina pertama bukan untuk menghina atau memperlekehnya.

Zaharudin Muhammad n steven sim
Zaharudin Muhammad turut pertimbang saman Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim kerana didakwa telah memutarbelit hantarannya itu.
PETALING JAYA:
Yang Di Pertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad menjelaskan hantaran kontroversinya yang memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama, kelmarin sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat berhubung program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Beliau turut mendakwa gambar Johnny Lim Eng Seng itu hanya bersifat hiasan dan bukan niatnya untuk menghina atau memperlekehkan pemasyhuran berkenaan.

Zaharuddin turut mengancam untuk menyaman sebuah laman sesawang dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim kerana telah memutarbelit hantarannya itu.

Dalam penjelasannya berhubung hantaran gambaran 2058 dan ‘naturalisasi PM’, Zaharuddin berkata hujah utamanya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tidak mustahil peserta MM2H memohon kerakyatan dan menuntut hak seperti mengundi.

“Apabila berlaku kelahiran maka tidak mustahil mereka akan minta kerakyatan dan selepas 20 tahun mereka akan minta hak mengundi.

“Jika bangsa asing ini masuk secara terancang sebagaimana Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada tahun 2058, PM Malaysia adalah daripada kalangan anak kelahiran bangsa asing ini.

“Ini isi utama saya, boleh baca balik tulisan saya yang saya lampirkan tanpa prejudis,” katanya.

Bagaimanapun, hantaran dimaksudkan Zaharudin itu telah dipadam selepas dikritik ramai.

Beliau menjelaskan, tindakan itu dibuat bukan kerana bimbang implikasi undang-undang tetapi tidak sempat memantau tulisan dibuatnya kelmarin.

Zaharuddin turut menekankan maksud asal hantarannya itu juga bahawa pelantikan bukan Islam Bumiputera ke jawatan tinggi adalah perkara biasa tetapi bukan perdana menteri.

“Tak ada dalam tulisan itu saya kata ‘seperti bukan melayu dalam ATM, ‘Datuk Johnny Lim Eng Seng adalah contoh naturalisasi,” katanya.

Zaharuddin sebaliknya mendakwa kecaman itu sebenarnya dibuat Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim sedangkan gambar disertakannya tidak mempunyai kaitan.

“Apabila Steven Sim sebut saya mengecam perlantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng adalah prejudis. Mungkin dalam kepala mereka, mereka mempertahankan Malaysian Malaysia yang memperjuangkan PM untuk bangsa bukan Melayu dan mereka juga tahu saya antara orang yang kuat menentang.

“Atas prejudis ini apabila mereka melihat saya attachkan (kepilkan) gambar hiasan itu, mereka terus tafsir ikut prejudis mereka.

“Mungkin mereka faham bahawa saya menentang perlantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebab ini juga naturalisasi.. padahal saya dah sebut jelas bahawa ‘gambar di bawah adalah hiasan dan tiada kaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.