
Beliau berkata, kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan.
“Antara usaha yang kita ada adalah melalui program RESET untuk melihat macam mana kita mahu mewujudkan skim insurans asas untuk rakyat Malaysia.
“Cadangan penubuhan skim berkenaan masih di peringkat perbincangan bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat dan tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 kendalian Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) di sini.
Beliau ditanya cadangan kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi tujuan bayaran premium insurans kesihatan.
Amir Hamzah berkata, antara pihak terbabit pembangunan skim itu ialah pengendali insurans dan takaful serta wakil sektor kewangan.
“Apabila sudah bersedia, kita akan umumkan model pelaksanaannya. Kita juga terbuka kepada sebarang cadangan, termasuk model seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tetapi keutamaannya adalah membangunkan produk benar-benar bersesuaian dengan keperluan rakyat.”
Dalam majlis itu, beliau melancarkan inisiatif strategik RM211 juta oleh SME Bank yang akan menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, Pengerusi SME Bank Muslim Hussain serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Mohammad Hardee Ibrahim.