Kematian pelajar di Cyberjaya: Kerajaan digesa teliti SOP keselamatan IPTS

Kematian pelajar di Cyberjaya: Kerajaan digesa teliti SOP keselamatan IPTS

Polis dilaporkan berkata kematian penuntut berusia 20 tahun di kondominium Mutiara Ville, Cyberjaya disiasat sebagai kes bunuh.

Saifuddin Abdullah
Bekas timbalan menteri pengajian tinggi Saifuddin Abdullah berkata keselamatan pelajar harus menjadi keutamaan mutlak dan tindakan segera perlu diambil.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) susulan kematian seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya kelmarin.

Terdahulu, Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kematian mangsa berusia 20 tahun di kondominium Mutiara Ville, Cyberjaya akibat hentakan objek tumpul di kepala, disiasat sebagai kes bunuh.

Katanya, tiada kecederaan konsisten dengan rogol dan siasatan di tempat kejadian mendapati tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk.

Saifuddin berkata, keselamatan pelajar perlu menjadi keutamaan mutlak dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kejadian ini amat menyayat hati dan menimbulkan kebimbangan serius berkaitan keselamatan pelajar di IPTS.

“Kerajaan perlu menilai semula SOP keselamatan di IPTS, termasuk sistem kawalan keselamatan, akses kampus dan kerjasama dengan pihak berkuasa,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu dalam kenyataan sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Saifuddin yang juga pengerusi portfolio pendidikan Perikatan Nasional menggesa polis menjalankan siasatan telus bagi menegakkan keadilan buat mangsa serta keluarganya.

Mangsa yang dilaporkan berasal dari Kuching, Sarawak ditemui rakannya kira-kira 10 pagi kelmarin dengan kesan kecederaan di badan.

Dia dikatakan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda fisioterapi dan tinggal di bilik itu bersama lima pelajar lain. Tetapi, rakan sebiliknya pulang ke kampung untuk bercuti pada 21 Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.