
Norman Rabani, 51, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bawah pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai RM10,000 daripada Zull Amran Muhamad, yang diketahuinya mempunyai kepentingan dalam pemaju perumahan Teratak Bina Jaya Enterprise, yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Mengikut tuduhan kedua pula, Norman didakwa menerima RM10,000 lagi daripada Zull Amran, yang diketahuinya mempunyai kepentingan dalam syarikat kontraktor MZA 65 Resources, juga berkaitan dengan tugas rasminya.
Selain itu, menurut tuduhan ketiga dan keempat, Norman didakwa menerima dua jumlah RM10,000 daripada Zull Amran, yang diketahuinya mempunyai kepentingan dalam syarikat bekalan pembinaan Fastraks Engineering, berkaitan dengan tugas rasminya.
Bawah tuduhan kelima pula, Norman didakwa menerima RM30,000 daripada individu yang sama, yang diketahuinya mempunyai kepentingan dalam syarikat pembinaan Zambina Mutiara Sdn Bhd, berkaitan dengan tugas rasminya.
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku dalam lima pertemuan berasingan di Sunway Putra Mall dari Ogos 2024 hingga Januari tahun ini.
Kesemua tuduhan terhadap Norman dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM25,000, namun peguam mewakili tertuduh, Abdul Hakeem Aiman merayu jumlah jaminan dikurangkan,
Beliau berhujah, anak guamnya menanggung empat anak, berusia antara 16 dan 24 tahun yang masih belajar, serta kos perubatan ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhampiran sebulan sekali.