
Hakim Norma Ismail memerintahkan Nora Idayu Jaafar, 48, menjalani penilaian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak bermula 30 Jun, selepas peguamnya membangkitkan keadaan kesihatannya semasa mitigasi hari ini.
Peguam Daniel Annamalai berkata Nora pergi ke sebuah klinik swasta pada 6 Jun, di mana doktor mengesyaki dia mengalami gangguan tekanan pasca trauma atau PTSD dan merujuknya kepada pakar.
Sepucuk surat rujukan dari klinik tersebut juga dikemukakan kepada mahkamah.
Apabila ditanya oleh hakim sama ada dia pernah disahkan menghidap masalah psikiatri, Nora mendakwa pernah mengalaminya sebelum dia didakwa awal bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh berkata dia tidak pernah mendapatkan rawatan kerana sibuk dengan perebutan hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah.
Daniel juga berkata suami Nora telah meletak jawatan minggu lalu untuk menjaga tertuduh. Dia kini tidak bekerja.
Terdahulu, jurubahasa mahkamah membacakan 132 pertuduhan terhadap tertuduh kerana mengubah sistem pengurusan pelanggan Astro untuk menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2013 hingga 2020 di pejabat Astro di Menara Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Nora mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Prosiding hari ini adalah sambungan daripada tarikh tuduhan di mahkamah pada 4 Jun, yang ditangguhkan selepas Nora pengsan ketika pertuduhan ke-90 dibacakan kepadanya.
Hari ini, Nora dibenarkan duduk di kandang tertuduh semasa pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah menetapkan 29 Julai untuk perkembangan keadaan kesihatan mental tertuduh sebelum keputusan dibuat sama ada untuk meneruskan dengan baki tuduhan yang dihadapinya.