5 suspek kes buli junior dikenal pasti

5 suspek kes buli junior dikenal pasti

Polis kenal pasti suspek terlibat kes remaja 14 tahun dakwa dibuli hingga cedera oleh sekumpulan pelajar senior Selasa lepas.

handcuff
Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 6.48 petang semalam. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Polis telah mengenal pasti lima suspek dalam kejadian seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah MRSM di Besut mendakwa dibuli oleh pelajar senior sehingga cedera pada malam Selasa lepas.

Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.48 petang semalam.

Katanya, mangsa lelaki berusia 14 tahun itu mendakwa dibuli dengan diarahkan mencangkung separa, dengan selipar diletakkan di atas kepalanya selama 40 minit dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu.

“Mangsa juga mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga di asrama putera sekolah itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Azamuddin berkata, kejadian itu disedari oleh warden bertugas yang kemudian membawa mangsa serta suspek ke pejabat warden.

Warden turut menghubungi penjaga mangsa untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, tambahnya.

Azamuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu sehingga mengganggu siasatan polis.

Tambahnya, permohonan perintah reman terhadap lima suspek itu akan dibuat esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.