
Ketua Polis Klang Selatan Ramli Kasa berkata kejadian pada 11 malam itu melibatkan empat lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun menunggang motosikal dengan laju, dipercayai sedang berlumba dari arah Laguna Park, Pulau Indah.
“Dua daripada motosikal itu bergesel sesama sendiri dan terjatuh di jalan raya sebelum dirempuh dua lagi motosikal dari belakang,” katanya dalam kenyataan.
Ramli berkata penunggang motosikal berusia 15 dan 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi berumur 24 dan 15 tahun dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Khairul Nizam Abdul Talib menerusi talian 03-33722222.
Dalam pada itu, Ramli menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal jika tidak mempunyai lesen atau terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang membahayakan nyawa.