Spin apa pula? Syahredzan soal YDP PAS Sungai Buloh

Spin apa pula? Syahredzan soal YDP PAS Sungai Buloh

Syahredzan Johan persoal dakwaan Zaharudin Muhammad bahawa kritikan terhadap hantaran kontroversinya sebagai ‘spin’ di luar konteks.

Syahredzan Johan persoal keperluan Zaharudin Muhammad menyertakan gambar leftenan jeneral Cina pertama dalam hantaran satira di Facebook.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP mempersoalkan kenyataan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad yang menyifatkan kritikan terhadap hantaran kontroversinya yang memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama sebagai ‘spin’ di luar konteks.

Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan berkata sudah terang lagi bersuluh hantaran suatu senario ‘masa hadapan’ disertakan gambar Johnny Lim Eng Seng, sengaja membawa polemik perkauman.

“Luar konteks apanya? ‘Spin’ apa pula?.

“Jika tiada kaitan, tiada sebab mengapa perlu dipamerkan gambar tersebut,” katanya di Facebook.

Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi menegaskan pemimpin akar umbi PAS itu sepatutnya mengakui kesalahannya dan memohon maaf kepada seluruh Angkatan Tentera Malaysia dan Lim.

“Kenyataan Zaharudin sebenarnya membuktikan bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) masih membawa politik perpecahan serta perkauman dan mesti ditolak semua rakyat Malaysia mencintai keharmonian dan perpaduan.”

Terdahulu, FMT melaporkan penjelasan Zaharudin bahawa gambar Lim tiada kaitan dengan penulisannya yang dilaporkan media sebagai satira.

Pemimpin akar umbi PAS itu juga memberitahu FMT beliau tiada motif untuk menghina pelantikan Lim.

Terdahulu, media melaporkan Zaharudin memuat naik hantaran bersifat satira di Facebook mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.

Mengiringi hantaran tersebut gambar penganugerahan pangkat kepada Lim, dengan keterangan ia sekadar hiasan. Hantaran itu telah dipadam tanpa penjelasan lanjut.

Zaharudin menjadi sasaran kritikan Syahredzan yang mempersoalkan motifnya membuat hantaran sebegitu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.