
Pada tahun 1970-an dan 1980-an, kira-kira 50 keluarga dari pelbagai latar belakang kaum dan agama mendiami kawasan itu walaupun namanya berunsur India.
Hari ini, sebahagian kampung telah lenyap akibat pembangunan.
Namun semangat keharmonian sejak puluhan tahun lalu masih kekal hasil usaha sekumpulan anak-anak generasi kedua dan ketiga menganjurkan perjumpaan tahunan bekas penduduk Kampung Sabapathy sejak empat tahun lalu.
Sulaiman Mengadin, penduduk generasi ketiga Kampung Sabapathy, mengimbau kembali saat-saat dirinya hidup bersama jiran daripada pelbagai kaum dan agama yang akan singgah menjamu selera tanpa perlu dijemput, terutamanya semasa musim perayaan.
“Kawan-kawan saya datang seolah-olah rumah saya rumah keluarga mereka. Ibu bapa dan datuk nenek saya menyambut mereka dengan tangan terbuka.
“Mereka tidak menghidangkan makanan yang tidak boleh dimakan tetamu dan apabila kami ke rumah mereka, mereka juga berhati-hati tidak menghidang makanan tidak halal.
“Ini kefahaman semula jadi yang diamalkan tanpa perlu bimbang dengan undang-undang untuk mengajar kami,” katanya kepada FMT.
K Kumaraguru, yang sering berusaha menganjurkan perjumpaan itu walaupun kebanyakan bekas penduduk sudah berpindah ke negeri lain, berkata ibu bapanya telah menanamkan dalam dirinya dan adik-beradiknya pentingnya menghormati kaum serta agama lain.
Katanya, mereka diajar agar merendahkan bunyi radio atau televisyen semasa waktu solat, amalan yang mudah untuk dipatuhi.
“Kami mungkin satu-satunya kampung menganjurkan perjumpaan seperti ini untuk mengingatkan diri kami dan anak cucu tentang semangat sebenar rakyat Malaysia yang pernah wujud.
“Walaupun orang dewasa mungkin menyokong parti politik yang berbeza dalam pilihan raya dan mempunyai kepercayaan politik berbeza, kami bersatu sebagai satu komuniti di kampung.
“Tetapi semangat itu kini sudah hilang. Perjumpaan seperti ini mungkin dapat menghidupkan kembali semangat Malaysia yang pernah wujud,” katanya.
Kumaraguru berkata tiada seorang pun daripada tetamu beragama Islam bertanya sama ada makanan yang dihidangkan halal kerana mereka tahu ia sememangnya halal, sebagaimana yang diamalkan sejak dahulu.
“Inilah indahnya hubungan kami.”

Sio Foo Soi berkata dia sentiasa menantikan perjumpaan ini untuk bertemu rakan-rakan lama yang membesar bersamanya.
Seorang pendiam, Sio yang berusia 76 tahun sering sebak mengenangkan ikatan persahabatan kejiranan itu walaupun berbeza kaum dan agama.
“Saya seronok melihat semua orang bergaul seperti dulu. Anak-anak saya juga cuba hadir ke perjumpaan ini jika berkesempatan,” katanya.
Sementara itu, Jabin James, 38, ahli keluarga generasi ketiga dari kampung itu, memastikan dia hadir bersama isteri dan anak-anaknya kerana dia sering mendengar cerita tentang kampung itu daripada ibunya, Alice Samuel, yang dilahirkan dan dibesarkan di situ.
“Kami menantikan perjumpaan tahunan ini pada masa hadapan kerana ia menyuburkan jiwa kami. Rakyat Malaysia perlukan lebih banyak acara seperti ini untuk mengingatkan kita dari mana asal kita,” tambahnya.