Muda bincang kedudukan Syed Saddiq malam ini

Muda bincang kedudukan Syed Saddiq malam ini

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Ahli Parlimen Muar daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini.

Muda-Amira Aisya Abdul Aziz
Pemangku Presiden Amira Aisya Abdul Aziz berkata keluarga Muda akan mengadakan mesyuarat penting malam ini.
PETALING JAYA:
Muda akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan kedudukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam parti, kata Pemangku Presiden Amira Aisya Abdul Aziz.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Ahli Parlimen Muar daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini.

“Keluarga Muda akan mengadakan mesyuarat penting malam ini untuk membincangkan perjalanan ke hadapan parti dan kedudukan Syed Saddiq dalam parti.

“Apa-apa akan kami kongsikan nanti dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media.

Amira berkata, keputusan hari ini membuktikan kejujuran Syed Saddiq yang ‘berdiri teguh’ dalam paksi keadilan.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika ditanya sama ada akan kembali memegang jawatan presiden Muda memaklumkan sebarang keputusan berkaitan akan dibuat bersama parti.

“Kami akan berbincang bersama. Untuk masa yang ada ini saya ingin meluangkan masa bersama keluarga. Perjalanan selama lima tahun ini sangat panjang,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan Amira berkata perancangan dan hala tuju Muda bersama Syed Saddiq bergantung keputusan rayuan sabitan dan hukuman berkaitan kesalahan rasuahnya hari ini.

Katanya, walaupun Syed Saddiq bukan lagi presiden sejak melepaskan jawatan pada 2023, beliau kekal sebagai tokoh penting dalam Muda kerana peranannya sebagai pengasas bersama dan wakil tunggal parti di Parlimen.

Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan RM120,000 membabitkan dana Pemuda Bersatu.

Ketika itu Syed Saddiq turut mengumumkan untuk mengosongkan jawatan presiden Muda dan tidak akan terbabit dalam politik parti sepanjang berdepan kes di mahkamah.

Dalam membenarkan rayuan bekas menteri belia dan sukan itu hari ini, Hakim Noorin Badaruddin berkata perayu sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri semasa perbicaraan.

Membaca penghakimannya dalam kamar mahkamah penuh sesak, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penyelewengan secara tidak jujur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.