Majlis vape hanya burukkan masalah sosial

Majlis vape hanya burukkan masalah sosial

Dr Jamalludin Ab Rahman dakwa majlis itu akan melengahkan tindakan tegas menangani salah guna vape termasuk yang mengandungi dadah.

vape
Baru-baru ini, pemain industri vape cadang tubuh majlis pemantauan vape bagi menangani isu penyalahgunaan di kalangan belia termasuk pelajar sekolah.
PETALING JAYA:
Persatuan pakar perubatan menolak cadangan penubuhan majlis pemantauan vape kerana akan melengahkan tindakan tegas untuk menangani salah guna peranti itu termasuk yang dicampur dengan dadah.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM) Dr Jamalludin Ab Rahman berkata dakwaan penggiat industri kononnya larangan penjualan akan menyebabkan peranti dan cecair haram membanjiri pasaran sudah tidak relevan.

Menurutnya, walaupun vape dibenarkan dijual secara sah, banyak kes di mana peranti dan cecair haram dikesan dijual secara terbuka yang turut dibeli oleh belia serta pelajar sekolah.

Dr Jamalludin Ab Rahman.

“Berkali-kali kerajaan ditakutkan dengan alasan kononnya larangan akan menyebabkan peranti dan cecair haram membanjiri pasaran.

“Hakikatnya, penubuhan majlis khas seperti dicadangkan hanya akan melengahkan tindakan tegas sepatutnya diambil dalam menangani masalah vape yang semakin membimbangkan,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini pemain industri peranti rokok elektronik atau vape mencadangkan penubuhan majlis pemantauan vape bagi menangani isu penyalahgunaan dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah.

Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd Shahabudeen Jalil dipetik berkata majlis itu boleh diletakkan bawah pemantauan kerajaan dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan, selain penyertaan pihak industri.

Cadangan itu menyusul kebimbangan disuarakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap pembabitan anak muda dalam penyalahgunaan dadah dan vape yang memerlukan perhatian serius.

Mengulas lanjut, Jamalludin menggesa kerajaan negeri dan pusat terus memberi tekanan kepada industri vape dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dengan tegas.

Beliau berkata sekarang bukan lagi masa untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya nikotin, sebaliknya tindakan berat dikenakan kepada pesalah termasuk penjual dan pembeli produk itu.

“Jangan berlengah dan laksana segera penguatkuasaan undang-undang Akta 852 demi kesihatan rakyat.

“Pengalaman di lapangan membuktikan bahawa menguatkuasakan undang-undang sedia ada sudah cukup mencabar, apatah lagi jika ditambah satu lagi entiti seperti majlis yang dicadangkan,” katanya.

Mohd Alif Jasni
Mohd Alif Jasni.

Sementara itu, ahli akademik Mohd Alif Jasni dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berpendapat penubuhan majlis khas itu sebagai langkah pragmatik kerana pengharaman sepenuhnya vape akan membuka kepada pasaran gelap, yang menurutnya semakin sukar dikawal.

“Penggunaan vape boleh dibenarkan tetapi mestilah tertakluk kepada penguatkuasaan ketat, sistem pendaftaran telus, pemantauan berkala dan hukuman berat terhadap pengilang serta penjual tidak berlesen.

“Penyertaan pihak industri berdaftar boleh diterima tetapi dengan syarat ada mekanisme semak dan imbang jelas dalam proses membuat keputusan,” kata pensyarah kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial UUM itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.