Gagal lapor rasuah RM90,000, COO Prolintas didenda RM100,000

Gagal lapor rasuah RM90,000, COO Prolintas didenda RM100,000

Rostam Shahrif Tami mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan alternatif ditawarkan Jabatan Peguam Negara.

Rostam Shahrif Tami
Rostam Shahrif Tami didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Prolintas Rostam Shahrif Tami didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana gagal melaporkan penerimaan suapan bernilai RM90,000, dua tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif.

Pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif itu selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi dikemukakan tertuduh bulan lalu.

Rostam didakwa gagal melaporkan tindakan wakil Satunas Technologies Sdn Bhd Rosman Alias yang didakwa memberinya RM90,000 sebagai sogokan untuk memperoleh satu kontrak.

Kesalahan itu dilakukan di Restoran Bayou Diner 51 di Puchong pada 20 Feb 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000, penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Semasa rayuan, Dzulkifli Ahmad yang mewakili Rostam memaklumkan anak guamnya bersedia melucut hak semua wang yang telah disita, termasuk kira-kira RM180,000 dalam akaun Tabung Haji (TH) sebagai sebahagian daripada hukuman.

Dzulkifli merayu Rostam hanya dikenakan denda maksimum dan tidak dipenjara, dengan alasan ia kesalahan pertamanya selain memiliki rekod bersih sepanjang perkhidmatan bersama Prolintas sejak 1998.

Beliau turut memaklumkan bapa kepada lima cahaya mata itu menghidap penyakit darah tinggi.

Menurut fakta kes, Pengerusi Satunas Technologies Fauzi Daud bersama Rosman — seorang kakitangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) — telah bertemu Rostam pada November 2022 untuk menyatakan hasrat menjadikan syarikat itu sebagai ‘kontraktor gantian’ bagi projek Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).

Pada Februari 2023, selepas Satunas Technologies menerima surat tawaran, Rostam didakwa meminta bayaran daripada Rosman.

Rosman kemudiannya meminta RM100,000 daripada Fauzi. Sebanyak RM80,000 diperoleh daripada pemilik Satunas Technologies, Azmi Abdul Hamid, manakala Fauzi sendiri menyumbang RM20,000.

Daripada jumlah itu, Rosman menyerahkan RM90,000 kepada tertuduh dan menyimpan bakinya untuk dirinya sendiri.

Rostam juga menerima tambahan RM20,000 dan RM70,000 masing-masing pada bulan Mac dan April tahun yang sama daripada Rosman.

Fakta kes turut menyebut tertuduh menggunakan sebahagian wang itu untuk membeli tujuh utas jam tangan mewah untuk dirinya serta dua buah kereta didaftarkan atas nama dua orang anak perempuannya.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh turut menerima RM180,000 daripada Syarikat Muhibbah Perniagaan & Pembinaan pada 27 Januari 2023, yang dimasukkan ke dalam akaun TH miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.