
Meskipun begitu, Takiyuddin berkata PAS memandang serius kontroversi melibatkan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad itu, menegaskan catatan itu berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS.
“Kepelbagaian dan perbezaan latar belakang tidak boleh sama sekali dijadikan alasan atau sebab untuk berlaku tidak adil terhadap mana-mana anggota masyarakat. Ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghalang kemajuan, peluang, pencapaian, kebolehan atau cita-cita sah mana-mana individu dan kalangan.
“Sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam PAS, selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini,” menurut kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Zaharudin memuat naik hantaran bersifat satira di Facebook mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.
Mengiringi hantaran tersebut gambar penganugerahan pangkat kepada Johnny Lim Eng Seng, dengan keterangan ia sekadar hiasan. Hantaran itu telah dipadam tanpa penjelasan lanjut.
Menjawab pengkritik, Zaharudin menjelaskan kepada FMT bahawa gambar Lim tiada kaitan dengan penulisannya, dan beliau tiada motif untuk menghina pelantikan Lim.
Takiyuddin beri peringatan kepada pemimpin PAS yang membuat sebarang kenyataan yang bertentangan dengan dasar, ketetapan dan kepentingan parti, bahawa PAS tiada toleransi dalam soal adab, susila mahupun disiplin.
“Justeru PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin menyampaikan ucapan tahniah PAS buat Lim atas pelantikan beliau.
“Pelantikan Lim sebagai leftenan jeneral Angkatan Tentera Malaysia adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya,” katanya.