PTKL2040 perlu seimbang teknologi AI, nilai manusiawi, kata PM

PTKL2040 perlu seimbang teknologi AI, nilai manusiawi, kata PM

Rombakan besar-besaran ibu kota perlu merangkumi kehidupan bandar hijau dengan pastikan kemudahan termasuk sekolah dan pengangkutan awam dibina dekat kediaman rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pelancaran PTKL2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) menggabungkan kemajuan teknologi digital kecerdasan buatan (AI) dan nilai manusiawi sejajar konsep Madani.

Anwar berkata, rombakan besar-besaran ibu kota Kuala Lumpur perlu merangkumi perumahan rakyat mampu milik, keselesaan peniaga kecil dan kehidupan bandar yang seimbang, selain memastikan kemudahan awam termasuk sekolah dan pengangkutan awam dibina berdekatan penduduk terbanyak.

Beliau turut menekankan penggunaan tenaga solar di kediaman baru sebagai syarat baharu projek perumahan di bandar dalam usaha menjamin kelestariannya.

“Rumah-rumah baru mesti menggunakan solar…itu syarat-syarat baru yang tidak ada dalam peraturan dan perundangan kita.

“Kita sudah ada sekarang satu projek (PTKL2040) yang moden, jadi harus kuat dengan penggunaan digital dan AI dan Kuala Lumpur diarah untuk memenuhi keperluan-keperluan ini,” katanya.

Beliau berucap merasmikan pelancaran PTKL2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Anwar berkata, bukan mudah untuk menyusun semula pembangunan di Kuala Lumpur seperti mana membangunkan bandar baharu seperti Putrajaya.

“Kita bangunkan dalam keadaan sudah terikat dengan beberapa struktur lama yang tak mungkin dipindahkan, jadi agak lebih jauh (lama) dan lebih sukar.

“Jangan kita andaikan pelancaran (PTKL2040) bermakna membangunkan satu imej baru Kuala Lumpur, kerana Kuala Lumpur ini sudah dibangunkan tidak sebagai kota yang tersusun dan moden.

“Jadi, pelan itu (PTKL2040) harus membantu mengatur asas-asas yang penting tetapi terikat kepada pengurusan yang baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.