
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menerusi Facebook, susulan perhimpunan di Kota Kinabalu yang menyaksikan ada segelintir peserta bertindak membakar karikatur Anwar.
“Perdana menteri berpesan agar pelajar UMS terlibat dalam insiden baru-baru ini tidak dibuang universiti.
“Bagi YAB PM, mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya.
Lebih 100 peserta menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran segelintir pelajar UMS.
Perhimpunan itu diadakan bagi menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah, tetapi ia berakhir dengan pembakaran karikatur Anwar.
Susulan itu, beberapa pihak termasuk pimpinan PKR membidas tindakan kumpulan aktivis pelajar yang disifatkan keterlaluan dan melampaui batas adab.
Exco Wanita PKR, Siti Norffinie Yassin, dilaporkan berkata pembinaan negara memerlukan keberanian untuk bercakap benar, namun perlu ada kebijaksanaan dalam memilih cara.
UMS telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan Ketua Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan siasatan dibuat mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.