Pengakuan salah penghantar barang khianat rumah ibadat ditolak mahkamah

Pengakuan salah penghantar barang khianat rumah ibadat ditolak mahkamah

Tertuduh didakwa berang tidak dibayar gaji mengaku salah namun menolak mengakui fakta kes.

Mahkamah Majistret Batu Pahat
Mohammad Afiq Kasmuni, 37, dibenar ikat jamin RM2,500, namun tertuduh gagal membayarnya dengan serahan dokumen dan lantikan peguam pada 30 Julai. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pengakuan bersalah penghantar barang atas tuduhan merosakkan rumah ibadat pada Sabtu lalu kerana didakwa berang tidak dibayar gaji ditolak Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Majistret Arun Noval Dass memutuskan demikian susulan tertuduh, Mohammad Afiq Kasmuni, 37, menolak mengakui fakta kes dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah mendapati ia pengakuan bersyarat daripada tertuduh, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa melakukan khianat memecahkan peralatan milik sebuah rumah ibadat hingga mengakibatkan kerugian RM738.

Perbuatan itu dilakukan di Taman Kapal Layar 1, Tongkang Pechah, Batu Pahat, pada 12.47 tengah hari, 21 Jun.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Susulan pengakuan bersalah ditolak, mahkamah menetapkan 30 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500, namun tertuduh gagal membayarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.