Pemandu Toyota Hilux tular langgar kereta ditahan

Pemandu Toyota Hilux tular langgar kereta ditahan

Polis telah membuka kertas siasatan kerana perbuatan khianat dan memandu secara gopoh.

Tangkap layar rakaman tular menunjukkan sebuah sebuah pacuan empat roda melanggar Perodua Axia secara mengundur beberapa kali sebelum memecut laju.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan selepas melakukan khianat dengan melanggar kenderaan pengguna lain sebanyak tiga kali, dalam kejadian di Jalan Tun Razak, Johor Bahru, petang Ahad lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu kerana perbuatan khianat dan memandu secara gopoh.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa warga tempatan berusia 63 tahun yang memandu Perodua Axia memperlahankan kenderaan kerana terlepas simpang.

“Suspek yang memandu sebuah Toyota Hilux dari arah belakang telah bertindak memotong mangsa secara agresif dan memberhentikan kenderaannya sebelum berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak.

“Suspek kemudian bertindak melanggar kereta mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan milik mangsa bernilai RM15,300,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan sebuah sebuah pacuan empat roda melanggar Perodua Axia secara mengundur beberapa kali sebelum memecut laju.

Selain itu, Raub berkata suspek dikesan mempunyai tujuh rekod lampau berkait kesalahan jenayah namun tiada rekod dikehendaki.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah.

“Suspek akan dibawa untuk permohonan reman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.