Mahkamah perintah hartanah di KL diserah balik kepada Umno

Mahkamah perintah hartanah di KL diserah balik kepada Umno

Tanah itu dipegang Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad, dan Sanusi Junid sebagai pemegang amanah.

Peguam mewakili Umno, Hafarizam Harun, berkata tanah berkeluasan 9,723 meter persegi itu dikenali sebagai Hotel Seri Pacific. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sebidang tanah menempatkan sebuah hotel di ibu negara dipindah milik kepada Umno dalam tempoh 30 hari.

Hakim Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah itu selepas dimaklumkan peguam Hafarizam Harun mewakili Umno sebagai plaintif, bahawa kedua-dua pihak iaitu Umno dan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan bersetuju mengenai penyelesaian iaitu pemindahan hak milik tanah berkenaan.

Dalam penghakiman persetujuannya, Roz Mawar berkata, harta dikenali sebagai Geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur (‘hartanah tersebut’) yang didaftarkan atas nama Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad, dan Sanusi Junid (‘pemegang amanah’) adalah dipegang sebagai pemegang amanah bagi manfaat Umno.

“Pemilikan hartanah tersebut yang didaftarkan atas nama pemegang amanah diletak hak dan didaftar atas nama Umno dengan semua hak, kepentingan, dan milikan ke atasnya selaras dengan peruntukan Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966.

“Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberi kesan kepada perenggan (2) di atas menurut Seksyen 420 Kanun Tanah Negara 1965 dan mengambil segala langkah perlu untuk melaksanakan dan mendaftarkan peletakan hak hartanah tersebut dalam tempoh 30 hari,” katanya menurut Berita Harian.

Hafarizam berkata, tanah berkeluasan 9,723 meter persegi itu dikenali sebagai Hotel Seri Pacific.

“Dengan perintah ini, segala isu berkaitan pindah milik harta Hotel Seri Pacific selesai.”

Mengenai isu keingkaran pihak pemegang amanah memindah milik harta berkenaan, Hafarizam berkata, perintah mahkamah menjadikan segala isu polemik berkenaan keengganan pemegang amanah menandatangani atau tidak pemindahan harta itu, selesai dan menjadi akademik.

“Mahkamah memberi perintah atas permohonan kami dan dengan persetujuan pihak PTG yang diwakili peguam kanan persekutuan, bahawa harta itu dipindah milik daripada nama empat pemegang amanah kepada Umno,” katanya.

Pada 6 Mac lalu, Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan, memfailkan saman pemula dengan menamakan PTG Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Menerusi saman itu, Umno memohon perintah bahawa pemilikan geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Kuala Lumpur yang didaftar atas nama pemegang-pemegang amanah berkenaan dipindahkan kepada Umno mengikut Fasal 27.1 perlembagaan parti dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, Umno memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial dalam dokumen hak milik.

Afidavit sokongan Sumali menyebut, berdasarkan Borang Jadual 17, permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Okt 2015 bagi hartanah itu yang disertakan surat akuan bertarikh 22 Okt 2015 telah disahkan serta ditandatangani oleh empat pemimpin terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.