
Arkib@Sekolah bertemakan ‘Bermulanya di sini’ adalah sebahagian daripada Program Arkib Pendidikan yang membawa bahan arkib asli termasuk dokumen, gambar, dan artifak sejarah terus ke persekitaran sekolah.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata matlamat utama Arkib@Sekolah adalah untuk memupuk kesedaran sejarah yang mendalam, memperkukuh identiti kebangsaan dan menanam semangat cinta negara dalam kalangan murid dan pelajar.
“Melalui pameran seperti ‘Malaysia, Tanah Airku’, pelajar didedahkan kepada detik-detik penting sejarah negara serta tokoh-tokoh kemerdekaan.

“Aktiviti sampingan seperti kuiz sejarah, bengkel pemuliharaan bahan arkib, teka silang kata, dan sesi interaktif seperti ‘Kenali Wira Kemerdekaan’ menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, bermakna dan relevan,” katanya dalam kenyataan.
Aaron berkata, pelajar juga digalakkan meneroka, menganalisis dan menghasilkan projek berasaskan sumber arkib asli, satu pendekatan yang tidak hanya memperkukuh pemahaman sejarah tetapi juga mengasah pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan berfikir secara analitik.
Beliau berkata, Arkib Komuniti pula memberi ruang kepada masyarakat untuk mengurus, mendokumentasi dan memelihara warisan sejarah serta budaya tempatan secara sukarela dan tersusun.
Katanya, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dengan sejarah dan warisan negara.
“Dengan mendekatkan arkib kepada rakyat sama ada di sekolah mahupun di kampung Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti menjadi pemangkin kepada generasi yang lebih berpengetahuan, berjati diri dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia yang bersatu dan berdaulat,” katanya.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga selari dengan gagasan Malaysia Madani khususnya dalam dimensi nilai, keterangkuman, dan kesejahteraan.
“Melalui pendekatan yang menekankan akses kepada ilmu, penglibatan komuniti, dan pemeliharaan warisan bersama, Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti menyumbang secara langsung kepada pembentukan masyarakat yang berpengetahuan, berbudaya dan berintegriti tinggi,” katanya.